Pelaksanaan LINUS beri impak positif http://bit.ly/nYHeQe

Seronoknya Belajar Di Kelas

Posted: June 18, 2010 in Puisi

Aku seronok belajar di kelas
guruku mengajarku jadi cerdas
dapat membaca dengan pantas
menulis abjad lurusnya separas.

Aku seronok belajar di kelas
guruku menasihatiku usah malas
bantu ibu dan bapa bekerja keras
hormati kedua-duanya dengan ikhlas
anggota keluarga disayangi tanpa batas.

Aku seronok belajar di kelas
guruku mengajar dengan belas
ilmu dicurahkan nampak berbekas
kata dan ayat perlu disusun kemas
sehingga kini kuingati dengan jelas.

Mohamad Musip
IPGKPM Melaka 9 Mei 2010

Cuti Sekolah Hampir Ke Penghujungnya

Posted: June 18, 2010 in Diari

Antara sedar dengan tidak, nampaknya cuti pertengahan tahun selama 2 minggu hampir tamat. Selang masa 2-3 hari lagi sesi persekolahan akan dibuka semula. Saya percaya ramai dalam kalangan murid-murid, guru-guru mahupun ibu bapa yang memanfaatkan cuti ini sama ada pulang ke kampung halaman atau pun pergi bercuti.

Semoga sesi persekolahan yang akan dibuka semula nanti masing-masing dapat memberikan komitmen masing-masing; murid-murid dengan pembelajaran, manakala guru pula dengan tanggung jawab mendidik anak-anak murid.

Bagi saya pula, sesi persekolahan yang akan datang ini saya perlu bersedia dengan Saringan Bertulis yang kedua untuk murid-murid LINUS di sekolah saya. Saya mengharapkan ramai dalam kalangan mereka dapat melepasi saringan ini supaya mereka dapat memasuki pengajaran dalam aliran perdana.

Sekian, sehingga berjumpa lagi.

Tahniah !!

Posted: June 4, 2010 in Diari

Tahniah saya ucapkan kepada rakan-rakan yang telah memperolehi Diploma Pendidikan semasa Majlis Konvokesyen ke 17, IPGM Kampus Tun Hussein Onn, Batu Pahat khususnya buat rakan sekelas Opsyen Pemulihan Khas KPLI 2009.

Malang sekali saya tidak dapat menghadiri ke majlis tersebut atas sebab-sebab penting yang tidak dapat dielakkan. Walaupun dari mula lagi saya memang terlalu berhajat menghadiri majlis ini untuk meraikan kegembiraan serta dapat bertemu semula dengan rakan-rakan sepengajian dahulu. Namun, kita merancang…Allah jua yang menentukan. Bukan rezeki saya untuk dapat hadir ke majlis ini.

Apa pun saya ucapkan tahniah kepada kalian semua. Semoga kita dapat menjadi guru yang ikhlas berbakti dan mendidik anak bangsa sehingga ke puncak jaya.

nota : Gambar diambil dari Facebook Zairi :-)

Cara Finland Martabatkan Guru

Posted: December 16, 2009 in Isu Pendidikan

dipetik dari Utusan Malaysia (16 Disember 2009)

Oleh MOHD. MAHZAN AWANG

IN FINLAND: Teacher Piia Juhola writes students’ suggestions on the chalkboard at Länsimäki School in Vantaa. Student achievement in the country is high.

KITA sering didedahkan dengan bagaimana cara Amerika Syarikat dan United Kingdom melakukan lonjakan dalam pendidikan mereka bagi mendepani ekonomi dunia. Ramai pelajar dan pakar pendidikan dihantar oleh kerajaan Malaysia ke negara-negara ini bagi mempelajari ilmu pendidikan.

Namun, sedarkah kita bahawa terdapat negara lain yang menunjukkan prestasi lebih memberangsangkan berbanding kedua-dua negara maju ini?

Indeks kekayaan Legatum 2009 menunjukkan Finland disenaraikan tempat pertama mengatasi Amerika Syarikat (tangga ke-9) dan United Kingdom (tangga ke-12). Indeks kekayaan Legatum merupakan penilaian global tentang kekayaan dan kesejahteraan hidup rakyat di 104 buah negara berasaskan penilaian faktor-faktor lonjakan ekonomi serta kesejahteraan hidup jangka panjang, termasuklah bidang pendidikan.

Indeks ini meletakkan New Zealand di tangga ke-10 dan Ireland di tangga ke-11. Malaysia disenaraikan di tangga ke-39 mengatasi negara Asia Tenggara lain iaitu Thailand (tangga ke-44), Filipina (tangga ke-55) dan Indonesia (tangga ke-61).

Laporan yang dikeluarkan oleh Institut Legatum berpejabat di London ini meletakkan pendidikan di Singapura di senarai ke-26, Thailand di tangga ke-54 dan Malaysia di tangga ke-55. Manakala Filipina dan Indonesia masing-masing di tangga ke-70 dan 75. Pendidikan di Finland disenaraikan sebagai ketiga terbaik selepas Norway (tangga ke-2) dan Denmark (tangga teratas).

Bagaimana Finland menguruskan pendidikan terutama dengan memfokuskan kepada profesion perguruan.

Pengarah Pusat Mobiliti Antarabangsa (CIMO) Finland, Dr. Pasi Sahlberg melaporkan bahawa ramai daripada graduan cemerlang di Finland cenderung untuk memohon menjadi guru. Peningkatan mendadak berlaku dalam tempoh lima tahun terakhir ini.

Daripada jumlah yang ramai itu, hanya 12 hingga 14 peratus sahaja berjaya dilatih sebagai guru. Ini menunjukkan bahawa guru-guru dipilih dalam kalangan mereka yang benar-benar cemerlang, sama ada dalam bidang akademik dan juga bukan akademik. Hanya yang terlatih sahaja boleh menjadi guru. Ia suatu yang berbeza di Malaysia.

Beban mengajar guru di Finland adalah jauh lebih rendah berbanding di Amerika Syarikat, New Zealand dan Scotland. Di Finland, guru dibebani 600 jam waktu mengajar setahun, manakala di Amerika Syarikat ia mencecah 1,100 jam setahun. Falsafah Finland dalam bab ini menurut Dr. Pasi Sahlberg adalah dengan mengurangkan waktu mengajar bererti memperbanyakkan waktu belajar.

Falsafah ini menggalakkan pembelajaran kendiri dalam kalangan pelajar. Adakah ia berjaya mendidik pelajar dalam pelajaran? Kajian lepas mendapati bahawa pencapaian matematik di Finland menunjukkan peningkatan yang lebih memberangsangkan mengalahkan pencapaian pelajar Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom dan New Zealand.

Biarpun pencapaian pelajar dalam matapelajaran Sains di Finland adalah setara dengan negara-negara lain, tetapi tidak wujud jurang perbezaan pencapaian yang besar di antara sekolah-sekolah di Finland.

Oleh kerana keberkesanan pengajaran dan pembelajaran diukur melalui ujian, maka banyak ujian diperkenalkan di sekolah. Keadaan ini diamalkan di banyak negara.

Guru-guru secara langsung dilatih untuk mengajar pelajar bagi membolehkan pelajar melepasi ujian dengan skor yang baik. Situasi ini dilihat dalam paradoks berbeza di Finland. Pembelajaran dilihat lebih berkesan dengan mengurangkan ujian.

Guru dan pelajar juga tidak didoktrinkan dengan ujian, tetapi ditekankan kepada pembelajaran kendiri. Hasil daripada keadaan ini, kadar celik huruf serta pengetahuan sains di Finland mengatasi Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun.

Di Finland, guru-guru dilatih agar menggunakan pendekatan yang lebih bercorak pembelajaran kreatif dan bersahaja. Ia bertujuan untuk merangsangkan perkembangan minda dan menggalakkan budaya fikir dalam kalangan pelajar.

Sebarang perubahan pendidikan di peringkat global dinilai dalam konteks yang berbeza di Finland. Ini adalah kerana akhir-akhir ini banyak usaha memartabatkan profesion keguruan di sesebuah negara dipengaruhi oleh perubahan di peringkat global.

Negara-negara membangun tidak ketinggalan membuat banyak perubahan dengan mengandaikan bahawa ia perlu dilakukan demi memenuhi keperluan peringkat global. Walhal, dalam keadaan tertentu perubahan itu tidak sesuai dengan sesebuah negara.

Justeru, Finland mengambil pendekatan lebih berkati-hati dalam hal ini iaitu dengan mempelajari daripada negara-negara lain sebelum sebarang perubahan dilakukan.

Usaha memartabatkan guru termasuklah memastikan kerjaya ini mempunyai masa depan yang gemilang menerusi kenaikan pangkat. Di kebanyakan negara, akauntabiliti pengukuran kecemerlangan guru diberi perhatian yang serius. Namun di Finland, aspek ini dilihat dalam konteks berbeza. Perkongsian tanggungjawab dalam kalangan guru menjadi faktor kepada penilaian.

Dalam soal mengawal tingkah laku pelajar, memupuk kepercayaan dijadikan teras. Ia berbeza di kebanyakan negara yang percaya bahawa kawalan dan pemantauan guru sebagai teras kawalan tingkah laku.

Perbezaan ini membuatkan tugas dan tanggungjawab guru berada dalam vakum yang berbeza. Ini adalah kerana memupuk saling percaya lebih bersifat menyedarkan pelajar tetapi mengawal pelajar lebih berbentuk komunikasi satu hala yang mewujudkan jurang interaksi antara dua kumpulan ini.

Paradoks di Finland ini menggambarkan bahawa usaha memartabatkan guru bukan sekadar memperkenalkan pelbagai anugerah kecemerlangan tetapi ia lebih bersifat satu usaha yang menyeluruh.

Ia adalah satu usaha bersama dengan pertimbangan yang tinggi wajar diberi kepada pandangan para guru – sama ada guru novis, guru terlatih dan guru yang telah meninggalkan sekolah (pencen dan bertukar kerjaya).

Maklumat lanjut boleh rujuk ke :
Lessons from most successful schools abroad

Diperik dari Berita Harian (24 November 2009)

Oleh Md Fuzi Abd Lateh

Pengiktirafan tertinggi perlu direbut semua pendidik bagi martabat profesion, ajar generasi muda

USAHA Kementerian Pelajaran memartabatkan profesion keguruan dengan mengiktiraf jawatan Guru Cemerlang (GC) pelbagai pelajaran adalah usaha terbaik melonjak prestasi akademik di semua sekolah di negara ini. Umum mengetahui bahawa bergelar guru cemerlang amatlah berat dalam merealisasikan pengajaran dan pembelajaran sempurna mendidik generasi muda menjadi insan berguna sepanjang masa.

Pun begitu, ramai di kalangan mereka masih mempunyai pelbagai stigma mengenai arah tuju, peranan dan amanah penting melunaskan hasrat murni Kementerian Pelajaran itu. Merungkai persoalan ini tentu ada hujah bernas dalam usaha mempola generasi guru cemerlang dalam erti kata sebenar berdasarkan siaran ikhtisas buku Terma Rujukan Konsep Guru Cemerlang yang dikeluarkan oleh Jemaah Nazir kementerian itu beberapa tahun lalu.

Yang Dipertua Majlis Guru Cemerlang Selangor (Gred Khas C juga setaraf Jusa C), Zainal Sudin, berkata, guru cemerlang boleh ditakrifkan sebagai guru yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang tinggi dalam mata pelajaran khususnya dalam pengajaran dan pembelajaran. Golongan itu sentiasa berdedikasi dan bermotivasi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang cemerlang secara berterusan. Peranan mereka pula adalah lebih menjurus kepada menjadi pakar rujuk, memberi khidmat nasihat dan memberi bimbingan kepada rakan lain.

“Selain itu, kumpulan guru ini sentiasa peka, prihatin dan gigih membuat perancangan, pelaksanaan dan pembangunan diri murid dalam pengajaran dalam mata pelajaran kepakaran. Mereka juga sentiasa mengkaji dan menghasilkan inovasi baru demi memartabatkan profesion ini bertaraf dunia. Mereka sewajarnya perlu ikhlas menyumbang bakti kepada anak didik setimpal dengan gelaran diterima mereka.

“Pada pandangan saya, ramai guru yang menghadapi pelbagai dilema dan masih merendah diri untuk memohon jawatan ini. Guru tidak perlu rasa bimbang kerana perjuangan ikhlas yang tidak ‘berpura-pura’ tetap diberkati Tuhan ,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang berkhidmat 21 tahun dalam kerjaya perguruan dalam mendidik pelajar menguasai pelajaran Ekonomi Asas pelbagai cabaran dihadapi mampu diharungi dengan keikhlasan hati demi anak bangsa Malaysia tercinta.

“Paling berkesan adalah pelajar mampu menilai kualiti seseorang guru itu. Biarpun banyak tahap penilaian dijalankan kementerian sebelum menobatkan anugerah kepada guru itu namun guru itu sendiri perlu menjalankan kerja dengan keikhlasan, kesabaran dan sentiasa berfikiran terbuka,

“Untuk itu setiap guru yang memenuhi syarat yang ditetapkan dengan pencapaian prestasi cemerlang tiga tahun berturut-turut bolehlah memohon dengan mengisi borang yang dibekalkan itu. Saya suka menasihatkan pentadbir sekolah iaitu guru besar dan pengetua agar membuka peluang kepada setiap guru yang berkelayakan mengisi borang tanpa menyekat dan menghalang peluang mereka,” katanya.

Katanya, selepas dianugerahkan jawatan itu, mereka perlu melipat gandakan usaha agar lebih cemerlang berbanding rakan sejawat yang lain. Katanya, sebenarnya ganjaran lumayan datang kemudian. Bukan sifat seorang guru yang baik hanya mementingkan materialistik semata-mata dan bukannya kualiti kerja.

Beliau tetap bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang mengiktiraf taraf Guru Cemerlang Gred Khas C seperti jawatan pengarah di bahagian lain.

“Keistimewaan ini sungguh ‘luar biasa’. Bayangkan hanya berada di sekolah, tetapi guru menikmati peluang sama kenaikan gaji pokok mencecah RM8,000 sebulan yang ditawarkan itu. Saya tidak pernah terfikir menerima gaji besar seperti ini. Rahsianya mudah, keikhlasan mendidik pelajar tanpa mengharapkan ganjaran, pangkat dan status membuahkan hasil cukup membanggakan.

“Pengiktirafan tertinggi diberikan ini perlu direbut semua guru kerana kerajaan sentiasa mempunyai perancangan jauh memartabatkan profesion yang dihormati ramai ini. Saya tidak menghadapi masalah dengan sesiapa saja di sekolah, negeri Selangor dan peringkat atasan.

“Ini kerana usaha dan perjuangan yang diberikan perlu lebih tinggi berbanding guru lain. Ini saya katakan bahawa sekiranya jawatan Gred Khas C ini membolehkan guru menerima purata gaji kasar RM7,000 hingga RM12,747.94 sebulan berdasarkan tangga gaji tertentu yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.

Majlis Guru Cemerlang Selangor merancang pelbagai kursus, bengkel, seminar dan taklimat membantu kumpulan guru yang dipilih setiap tahun. Banyak siri perjumpaan dengan ahli yang diadakan bertujuan memantapkan kerjaya ini dari semasa ke semasa. Selangor berbangga kerana kumpulan kami juga menghasilkan program khas dikenali sebagai Program Akademi Terbilang Selangor (Pats) yang mempunyai pengisian besar menjulang pencapaian akademik pelajar pada semua peringkat.

Dalam program itu, guru perlu membuat kerja klinikal merawat masalah pelajaran dalam kelas. Selain itu, peranan ahli kami juga lebih kepada membantu Jemaah Nazir Sekolah (JNS) memantau dan menilai calon guru yang mengisi borang Guru Cemerlang setiap tahun.

Setiap ahli juga mempunyai peranan dan tanggungjawab besar memaju, memantapkan dan mengangkat prestasi mata pelajaran masing-masing. Jiwa saya lebih serasi dengan pelajaran Ekonomi Asas sejak lebih 15 tahun lalu. Justeru, setiap minggu, saya pasti keluar sekolah bertemu rakan guru untuk membimbing mereka dalam pelbagai slot aktiviti ilmiah yang berkesan.

Katanya, beliau ingin memaklumkan bahawa guru tidak boleh ‘berlakon’ untuk mendapat gelaran Guru Cemerlang ini. Mereka perlu menunjukkan watak sebenar bukan sekadar mencantikkan markah atas kertas sewaktu penilaian.

“Bakat kurniaan Tuhan yang diberikan kepada calon Guru Cemerlang ini perlu diketengahkan dalam setiap mata pelajaran masing-masing. Saya sangkal pendapat, jawatan ini diterima secara kebetulan. Tetapi lebih kepada pengiktirafan tertinggi usaha mereka menyumbang bakti dan usaha penuh keikhlasan itu.

“Setiap guru yang berjaya dipilih sebagai Guru Cemerlang perlu menjalankan amanah yang diberikan. Adalah tidak wajar setiap guru hanya menggunakan ‘jalan pintas’ memegang jawatan ini untuk beralih angin ke bidang lain selain mengajar. Saya nasihatkan sekiranya mereka ada niat untuk memasuki bidang pentadbiran perlu memberi fokus khusus kepada bidang itu semata-mata bukannya menjadi Guru Cemerlang,” kataya.

Di Selangor, ada tiga lagi Guru Cemerlang Gred Khas C yang sentiasa komited memajukan dunia pendidikan di sini. Guru berkenaan adalah dari Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Sabak Bernam (Bahasa Malaysia), Kolej Islam Sultan Alam Shah (Kisas), Klang dalam pelajaran Bahasa Inggeris dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puchong (Matematik) .

Zainal menambah, kumpulan pemikir akademik ini ialah pelopor hebat yang sentiasa merencanakan pelbagai program menyatukan guru bagi menyertai kursus dan bengkel meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kumpulan ini sentiasa mempunyai idea baru dan mantap mencetuskan reformasi pendidikan yang mantap sepanjang masa.

Justeru katanya, setiap guru memandang kelainan kepada guru cemerlang di sekolah. Harapan tinggi rakan lain usah dipersiakan begitu saja. Mereka mengharapkan guru ini lebih cemerlang, mantap dan sentiasa maju ke hadapan dalam semua perkara. Ikon yang diketengahkan ini wajar dimanfaatkan dengan penuh keikhlasan.

Sewajarnya guru itu boleh menjadi pakar rujuk, sedia menyumbang tenaga dan boleh dibawa berbincang semua pihak. Menjadi harapan dan iltizam jemaah nazir agar guru ini sentiasa mudah didekati kerana peranan besar mereka.

Guru Cemerlang tidak mengambil pendekatan berada dalam ‘zon selesa’ sehinggakan melupakan tugas dan peranan mereka dalam erti kara sebenar. Peranan berat mereka pasti menjadi ringan sekiranya ada usaha berterusan untuk meningkatkan pencapaian diri dalam semua perkara.

Dalam konteks itu golongan hawa didapati ramai menjawat jawatan ini. Namun masih ada lagi guru lelaki yang boleh dibanggakan atas usaha murni perjuangan mereka mendidik anak bangsa berjaya kerana ketekunan guru wanita dalam pelbagai aspek itulah mendorong pencapaian terbaik mereka menjawat jawatan ini.

Pengiktirafan guru lelaki atau perempuan tetap sama kerana perjuangan mereka tidak tersasar tetap mempunyai fokus sama. Guru cemerlang tetap mantap dan hebat tanpa mengira kaum, jantina dan keturunan. Negara pasti ‘ketandusan’ guru lelaki kerana kekurangan golongan itu menjawat tugas murni ini pada masa depan.

“Saya sentiasa berpesan kerana semua ahli agar berbalik kepada matlamat dan objektif asal pengiktirafan jawatan terbaik itu. Pasti tidak berlaku sebarang masalah berbangkit nanti.

“Pada dasarnya peranan guru cemerlang dibahagikan kepada lima item yang utama berdasarkan siaran pekeliling Jemaah Nazir Sekolah. Kesemua perkara itu perlu dikotakan setiap guru yang diberikan amanah menjawat jawatan itu di sekolah. Ini merangkumi bidang membuat perancangan, pengendalian dan pembangunan diri dalam pelajaran masing-masing agar kualiti dan prestasi meningkat setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata, mereka berperanan memimpin dan membantu dalam tugas kurikulum dan kokurikulum berkaitan mata pelajaran berkaitan. Selain menjadi pakar rujuk dan menjalankan kajian, inovasi baru mereka juga berperanan membantu menjalankan tugasan yang diarahkan oleh pelbagai pihak termasuklah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri JPN) dan Pengarah Bahagian di kementerian.

Bahasa Melayu

Posted: November 18, 2009 in Ilmu Pendidikan

Sumber Wikipedia

Bahasa Melayu ialah sejenis bahasa Melayu-Polinesia di bawah keluarga bahasa Austronesia yang telah digunakan di wilayah Malaysia,Indonesia, dan persekitarannya sejak melebihi 1,000 tahun lalu. Walaupun asal usul bangsa Melayu (dalam pengertian yang khusus) yang paling asal belum diketahui secara pasti tetapi pertumbuhan bahasa Melayu dapatlah dikatakan berasal dari Sumatera Selatan di sekitar Jambi dan Palembang. Rekod terawal bahasa Melayu Kuno ialah sebuah batu bersurat bertarikh 682 Masihi yang dijumpai di Sumatera Selatan.

Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Malaysia, Indonesia, dan Brunei, serta salah satu bahasa rasmi di Singapura. Di Indonesia, bahasa Melayu kini dipanggil bahasa Indonesia, dan di Malaysia, bahasa Melayu juga dipanggil bahasa Malaysia. Selain daripada keempat-empat negara tersebut, bahasa Melayu juga ditutur oleh penduduk-penduduk Melayu di Thailand Selatan, Filipina, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka dan Afrika Selatan.

Menurut statistik penggunaan bahasa di dunia, penutur bahasa Melayu dianggarkan berjumlah lebih 300 juta (bersama penutur Bahasa Indonesia) dan merupakan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur terpenting bagi bahasa-bahasa di dunia selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris dan bahasa Hindi/bahasa Urdu. Selain itu, dilaporkan sebanyak 70,000 orang mampu bertutur dalam bahasa Melayu di Sri Lanka, manakala di China, terdapat radio dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga diajar di universiti-universiti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, Jerman, New Zealand dan beberapa tempat yang lain.

Bahasa Melayu Piawai ialah Bahasa Melayu Riau, Indonesia, seperti yang dipersetujui oleh Indonesia, Malaysia, dan Brunei. Bahasa Melayu Riau dianggap tempat kelahiran bahasa Melayu. Di Malaysia, bahasa Melayu mengalami perubahan nama beberapa kali. Pada awal 1970-an, Bahasa Melayu dinamakan Bahasa Malaysia atas sebab politik. Namun sejak akhir-akhir ini, nama “Bahasa Melayu” digunakan semula. Bermula tahun 2007, bahasa kebangsaan Malaysia dinamakan kembali kepada Bahasa Malaysia sebagai simbol bahawa bahasa ini adalah bahasa untuk semua dan tidak mengira kaum. Di Indonesia, bahasa Melayu juga dikenali sebagai Bahasa Indonesia atas sebab persatuan dan kesatuan bangsa Indonesia iaitu Sumpah Pemuda tahun 1928. Di Singapura dan Brunei, Bahasa Melayu tidak mengalami sebarang perubahan nama.

Bahasa Melayu mempunyai banyak dialek dan setiap dialek mempunyai perbezaan ketara dari segi sebutan dan kosa kata. Misalnya, bahasa Melayu Jawa atau bahasa Jawa mempunyai banyak perkataan yang tidak diketahui oleh penutur bahasa Melayu yang lain. Selain itu, bahasa yang digunakan oleh masyarakat peranakan atau Cina Selat (campuran pendatang Cina dan penduduk asal) merupakan campuran antara Bahasa Melayu dan dialek Hokkien. Bahasa ini dahulunya banyak digunakan di negeri-negeri Selat seperti Pulau Pinang dan Melaka. Walaubagaimanapun, kini kaum peranakan lebih gemar berbahasa Hokkien atau Inggeris. Bahasa Melayu merupakan bahasa aglutinatif, bermaksud makna perkataan boleh diubah dengan menambah imbuhan tertentu. Umumnya, kata dasar (atau kata akar) terdiri daripada kata kerja.

Penggunaan Bahasa Melayu di negara-negara ini berbeza bergantung kepada sejarah dan budaya. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi di Malaysia pada 1968, tetapi Bahasa Inggeris masih digunakan dengan luas terutama sekali di kalangan masyarakat Cina dan India, sama seperti di Brunei. Berbeza di Indonesia, Bahasa Indonesia berjaya menjadi bahasa perantaraan utama atau lingua franca untuk rakyatnya yang berbilang kaum kerana usaha gigih kerajaan Indonesia dalam menggalakkan penggunaan Bahasa Indonesia selain Bahasa Belanda yang tidak lagi digunakan. Di Timor Leste, sekarang terlepas dari Indonesia menjadi negara Timor Leste, Bahasa Indonesia diterima sebagai “bahasa berkerja”. Di Singapura, Bahasa Melayu dikekalkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan walaupun Singapura mempunyai empat bahasa rasmi (iaitu Bahasa Inggeris, Cina, India, dan Melayu.) Di selatan Thailand, bahasa Melayu digunakan oleh orang-orang daripada Kesultanan Melayu Patani (orang Melayu Pattani), tetapi tidak memperolehi sebarang pengiktirafan daripada kerajaan.

Pada awal tahun 2004, Dewan Bahasa dan Pustaka dan MABBIM mencadangkan Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi ASEAN memandangkan lebih separuh jumlah penduduk ASEAN mampu bertutur dalam Bahasa Melayu. Walaubagaimanapun, perkara ini masih dalam perbincangan.

Detik dari Berita Harian

Hanya sokongan, usaha gigih dapat bantu anak dari segi pembelajaran

APABILA anak anda masih gagal menulis namanya sendiri walaupun sudah berusia tujuh tahun, jangan cepat mengatakan dia bodoh atau lembam. Pernahkah anda terfikir bahawa anak anda mungkin berhadapan dengan masalah disleksia?

Apatah lagi jika dia sukar memahami, mengingati atau mematuhi arahan dan tidak faham konsep masa seperti semalam, hari ini atau esok.

Disleksia adalah masalah kurang kemampuan dari segi pembelajaran menyebabkan mereka bermasalah untuk membaca, mengeja dan memahami. Ia bukan masalah intelektual kerana dari segi IQ mereka bijak tetapi ketidakupayaan membezakan huruf, nombor, menterjemahkan bunyi dan visual dalam penulisan menyebabkan mereka gagal untuk belajar.

Disleksia sebenarnya berpunca daripada perbezaan otak memproses bahasa penulisan dengan bahasa pertuturan. Dipercayai sistem neurologi yang tidak berfungsi dengan betul menyebabkan gangguan pada struktur otak.

Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin, berkata disleksia adalah disebabkan perbezaan otak memproses tulisan dan pertuturan.

Beliau berkata, tiada statistik mengenai disleksia di Malaysia namun dianggarkan antara empat hingga lapan peratus kanak-kanak pada usia persekolahan berhadapan dengan disleksia manakala kanak-kanak lelaki lebih cenderung berhadapan dengan masalah itu berbanding kanak-kanak perempuan.

“Kanak-kanak disleksia bukan kanak-kanak lembam atau bodoh, mereka cuma kurang kemampuan dari segi pembelajaran. Namun, itu tidak bermakna mereka akan gagal dalam hidup. Mereka masih boleh belajar dan diajar dengan formula tertentu,” katanya.

Bagi membela nasib kanak-kanak disleksia, Persatuan Disleksia Malaysia memiliki tiga pusat pembelajaran khas untuk golongan ini. Bertempat di Ampang, Subang dan Titiwangsa, pusat ini melatih kanak-kanak selama tiga bulan atau paling lama enam bulan sebelum mereka kembali semula ke alam persekolahan.

“Disleksia adalah masalah seumur hidup. Ia bukanlah masalah jika mereka diberi peluang untuk belajar. Ada kanak-kanak disleksia yang berjaya hingga ke peringkat universiti,” katanya.

Dari sudut perubatan, disleksia dikaitkan dengan faktor genetik, namun tahap masalah pembelajaran bagi setiap kanak-kanak itu tidak sama. Ada penyelidik percaya komplikasi ketika hamil atau ketika melahirkan bayi menyebabkan sedikit kerosakan pada otak.

Umumnya, kanak-kanak ini berhadapan dengan kesukaran belajar membaca dan mengeja. Otak mereka juga kurang berupaya menterjemah imej yang diterima daripada mata atau bunyi yang didengar telinga kepada bahasa yang difahami apabila dituturkan.

Biasanya kanak-kanak disleksia boleh mengeja dengan betul tetapi kedudukan perkataan itu tunggang terbalik atau tertinggal huruf vokal. Misalnya perkataan tiap-tiap ditulis sebagai tipa-tipa. Apabila guru menyebut 13, kanak-kanak disleksia akan menulis 31. Jika guru meminta mereka mengeja perkataan diam mereka menulis d i y a m, kalau disebut di – am, barulah ditulis diam.

Sariah berkata, disleksia kerap dikesan pada umur persekolahan. Selalunya ibu bapa dan kanak-kanak itu sendiri kecewa kerana gagal belajar membaca dan menulis dengan baik sehingga membawa kepada masalah kemurungan dan rendah diri.

Kegagalan itu menyebabkan mereka mula bermasalah bukan saja di sekolah tetapi di rumah. Apatah lagi jika ibu bapa atau guru tidak menyedari kanak-kanak terbabit sebenarnya berhadapan dengan disleksia.

Selain itu, ada kanak-kanak disleksia yang terjejas dari segi visual, misalnya gagal menulis huruf, nombor dan simbol dalam susunan yang betul. Dari segi pendengaran, mungkin ada yang sukar membezakan huruf atau kumpulan huruf manakala ada juga yang tidak boleh memegang atau mengawal pensil di genggaman menyebabkan mereka sukar menulis dengan betul.

Disleksia boleh terjadi pada peringkat yang sangat lemah (mild), sederhana atau teruk. Namun, perlu diketahui tiada ubat untuk menyembuhkan disleksia melainkan kesabaran dalam mengajar mereka, memberi mereka sokongan dan bantuan sedaya upaya.

Ciri-ciri kanak-kanak disleksia:

Kanak-kanak pra sekolah

* Lambat bercakap
* Sukar membunyikan perkataan atau rima
* Bermasalah dalam menulis nama sendiri
* Sukar mempelajari perbezaan bentuk atau warna
* Kurang upaya bercerita semula mengenai sesuatu kejadian

Kanak-kanak yang bersekolah

* Gagal membuat kerja sekolah, membaca, menulis dan mengira
* Tidak suka membaca buku atau mengelak untuk membaca dengan kuat dalam kelas
* Cenderung menulis terbalik, misalnya 15 menjadi 51, perkataan tiap-tiap menjadi tipa-tipa
* Kurang koordinasi misalnya sukar memakai tali kasut
* Keliru dengan konsep masa, semalam, hari ini, esok
* Sukar memahami, mengingati atau mematuhi arahan
* Cenderung hilang peralatan sekolah.

Jenis disleksia:

* Disleksia trauma – jarang ditemui dan selalunya terjadi kerana trauma pada bahagian otak yang mengawal keupayaan membaca dan menulis.
* Disleksia permulaan – pesakit disleksia jenis ini sukar membaca, mengeja atau menulis. Diwarisi secara genetik dan lebih kerap ditemui pada kanak-kanak lelaki.
* Disleksia sekunder – dipercayai berpunca pembentukan hormon ketika dalam kandungan.

Selamat Menghadapi Peperiksaan KPLI

Posted: November 2, 2009 in Diari

Saya mengucapkan Selamat Menghadapi Peperiksaan Akhir kepada semua rakan-rakan guru pelatih KPLI (SR) ambilan Januari 2009 seluruh Malaysia terutama rakan-rakan di IPTHO.

Peperiksaan akan bermula 3 – 5 November. Diharapakan kita semua dapat membuat yang terbaik untuk peperiksaan ini. Semoga berjaya !!.

senyap

Telah Dikurniakan Seorang Putera

Posted: October 6, 2009 in Diari

Alhamdulillah, tanggal 5 Oktober 2009 bersamaan 15 Syawal 1430H tepat jam 9.30 pagi, isteriku telah selamat melahirkan seorang anak lelaki di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu. Saya yang turut menemani isteri di dalam Labour Room hospital berdebar-debar melihat anak sulung kami dilahirkan.

Ini merupakan pengalaman yang cukup berharga buat diriku kerana dapat melihat dengan sendiri sakitnya bersalin. Sebelum ini hanya mendengar cerita dari rakan-rakan. Apabila melihat kesakitan isteriku ketika bersalin saya berasa memang benarlah apa yang ku dengar sebelum ini tentang besarnya ganjaran wanita bersalin.

Anak lelaki ini kami namakan sebagai Muhammad Haziq bin Fakhrul Anwar. Semoga anak ayah ini akan membesar menjadi insan berguna dan pemimpin bagi keluarga dan masyarakat.

Muhammad Haziq bin Fakhrul Anwar

Muhammad Haziq bin Fakhrul Anwar